Terima Kasih Kak!

Terngiang-ngiang perbualan saya dengan seorang yang saya panggil kakak ini.

Ada satu pagi tu kami berjumpa sekejap. Sarapan dan sembang-sembang. Saya beritahu beliau yang kereta saya tiba-tiba ada masalah eletronik. Kena segera ke workshop. Beliau jawab “tenang anak muda, banyak-banyak pergi buat sedekah.”

Real. Tak sangka itu adalah jawapannya.

Beliau ini saya kenali sebagai antara business woman yang berjaya di kalangan kami. Punya bisnes kencang dengan memberi servis kepada ramainya VVIP, syarikat mega, penerbangan serta banyak jenama besar dalam dunia fabrik dan fesyen.

Disamping ada beberapa aset di luar negara, beliau juga aktif mencari peluang membina empayar bisnesnya ke mana-mana pelusuk dunia.

Tak lama lagi beliau akan buka stesen minyak pula.

Dalam banyak-banyak hal yang kami sembang, beliau tercerita perkara ini. Iaitu katanya pada setiap pagi beliau akan pergi singgah ke surau terdekat dengan rumahnya dan akan masukkan RM10 ke dalam tabung surau.

Lengkap 26 hari (atau lebih) anak beliau bersekolah. Waktu beliau duk cerita, dalam hati saya duk cakap kenapalah tak masukkan sahaja RM300 segedebuk.

Kahkah, macam tahu sahaja tup tup beliau cakap,

“Suami akak kerja teruk. Pagi-pagi dah keluar, kadang-kadang balik lewat malam. Esok keluar semula, jadi akak ni tak beriyalah nak pesan suruh dia ke surau. Sepatutnya dia kena pergi. Itu amanah, itu kewajipan dia. Namun, ada benda yang halang.

Jadi akak ambil duit RM10, setiap hari. Akak sekadar nak ada perasaan pergi ke surau setiap hari. Tunaikan kewajipan tersebut.”

Gulp. Terdiam terus saya dibuatnya.

Kita ini, sama sahaja. Paling tinggi buh RM2 dalam tabung masjid pada hari jumaat. Kahkah. Kalau pergi surau, itu adalah kebetulan masuk waktu pada tepat keadaannya kita pulang. Kalau tak, memang lewat selalu.

Perkara ke-2 yang beliau sebut ialah semua job yang beliau dapat, kena letak dalam kepala dan hati, ia bukan tentang duit. Ia adalah perkhidmatan kita kepada orang yang memerlukan.

Iya, dari situlah orang akan tak berkira nak bayar. Apabila orang datang minta bantuan kepada kepakaran kita, buat betul-betul. Tak usah pandang bab RM yang kita bakal dapat.

Puaskan hati pelanggan dulu. Itu paling mustahak.

Beliau duk pesan kepada saya, “asal ada ujian datang dalam bentuk kena keluar duit, itu tandanya memang Allah nak ingatkan kau. Kau banyak lupa dia. Cara terbaik nak beri Tuhan murah rezeki, Tuhan sayangkan kau ialah, puaskan hati manusia dengan apa bisnes yang kau buat, dan banyak-banyak tunaikan kewajipan bersedekah.”

Aduh. Rasa macam kena lempang.

Dalam kehidupan kita ini, kita selalu rasa kita banyak sangat dah memberi, jadinya kita dah tak perasan yang ujian kepada kita itu adalah kerana kita ini tak ada banyak mana pun berbuat begitu.

Jadi, Tuhan uji ke situ.

Betullah,

Lagi banyak kita memberi, lagi banyak Tuhan pulangkan kepada kita. Lebih lagi ianya adalah sebuah kewajipan. Dan kawan, seperkara lagi: “Selepas beri, lupakan.”

Khairul Hakimin Muhammad,
Masih belajar, terima kasih kak!

(Visited 382 times, 1 visits today)