Waktu Kerja Dulu

Waktu kerja dulu, saya selalu sangat jadi tak boleh tidur apabila siangnya ada mesyuarat yang punyai scene-scene saya tak boleh jawab. Antara yang sampai hari ini saya menyesal tidak melawan ialah apabila ada siri merendah-rendahkan orang lain.

Kami ada kakitangan yang hebat bab belajar, ada degree yang istimewa dan ada yang punya master bagai. Mereka ini kerap kali dalam mesyuarat menaikkan diri masing-masing dengan perli kepada kerani (yang hanya ada SPM) dengan ayat,

“Haa kamu mesti ada master kan boleh cakap gini, ada master apa ya? Industrial? Master mana? UTM? UKM?” Dan kerani itu akan diamkan sahaja menunduk sepi.

Ia adalah kerana kerani tersebut hanya mahu berkongsi apa yang dia tahu tentang satu-satu hal. Dan momen beliau itu dibalas dengan buli yang begitu. Perkara ini bukan terjadi sekali, ia banyak kali dan setiap kali itu, saya akan mengetap bibir tidak melawan. Entahlah kenapa.

Hari ini, saya sudah bekerja sendiri. Dan apabila sudah keluar, saya melihat suasana itu hanya dengan mendengar sahaja luahan mereka.

Perkara ini adalah sebuah kesusahan yang menimpa kepala, badan, hati dan jiwa ramainya orang yang bekerja. Dan akhirnya mereka ini dipijak-pijak sampailah muncul perkataan murung dalam hidupnya. Lalu mereka akan mula sakit-sakit.

Dan bermula juga siri mengambil cuti sakit, kerap cuti kecemasan dan berbagai alasan untuk tidak masuk ke tempat kerja.

Superior akan beri kesimpulan mudah, “jenis suka cuti, berhenti atau transfer jelah manusia begini.” Sedangkan orang-orang ini adalah mereka yang sedang sakit dengan boses sendiri.

Depress ini adalah kesusahan peribadi. Ianya terlalu rahsia dan sekiranya mulut dibuka untuk dikongsi, boleh jadi ia akan jadi bahan ketawa.

“Alahai, cakap gitu pun tak tahan.”
“Jenis lembik, sikit-sikit nak down.”
“Entah benda-benda, macam tak ada Tuhan, rilekslah!”

Ini antara jawapan yang normal kita semua terima.

Baru-baru ini selesailah sesi saya bersama berbelas pesakit yang saya dapat akses untuk berjumpa bagi melihat sama ada buku tentang story depress ini wajar atau tidak dibuat.

Mereka ini adalah pesakit yang dikawal selia oleh para doktor dan pegawai psikologi. Selepas saya menghantar email mahu mendengar luahan mereka dan saya sendiri dapat menghadiri beberapa sesi pemulihan, saya dapat tahu serba sedikit apa yang mereka ini alami.

Ada 2-3 orang dalam kumpulan ini mengalami depresi di tempat kerja. Dan mereka ini kerap direndah-rendahkan oleh superior atau kawan sekerja hanya kerana bentuk badan, kerap tertidur kerana menguruskan semua anak sendirian, suami berjauhan, kerap memakai baju sama / tudung sama, membawa bekal ke tempat kerja, perlahan dalam menyiapkan kerja, lambat hadir ke tempat kerja, kerap sakit, kerap hamil dan sebagainya.

Saya beri contoh mudah,

Ada salah seorangnya (wanita) akhirnya buat keputusan bunuh diri hanya kerana tidak tahan diperli oleh superior di dalam mesyuarat sekiranya dia tak sempat siapkan kerja dengan ayat,

“Ini mesti tak dapat ****** laki, nak buat macam mana, duduk jauh, sebab tu slow buat kerja,”

Beliau tinggal berjauhan, anak-anak semuanya dengan beliau (3 orang), dan bos beliau juga seorang wanita.

Namun, ayat lucah, perli di khalayak ramai itu mengundang banyaknya ketawa dan langsung tidak ada peri kemanusiaan kepadanya. Beliau pernah mengadu ke jabatan HR untuk siasat apa yang disebutkan oleh bosnya, namun jawapannya “tak ada apa, hanya gurauan sahaja.” Dan perkara ini berlarutan dengan banyak kali. Jika beliau sakit, selsema, nampak kurang tidur, pun akan diperli dengan ayat lucah serta memalukan tersebut.

Akhirnya, beliau sengaja memandu laju dan menghentam tembok di sebuah jalan raya dan cedera parah.

Ada banyak lagi perkongsian yang saya dapat. Dan itu semua menyebabkan saya banyak termenung dan mahu menyendiri. Kadang-kadang rasa mahu mengadap sahaja manusia-manusia bermulut jahat ini.

Mentang-mentang sudah ada kerusi empuk, mudah sahaja mereka membantai jiwa-jiwa lain untuk berhibur di meja kerja.

Jika sebuah organisasi itu semakin mengundur, mula rugi, atau semakin sempit perjalanannya, maka orang-orang bawahan ini akan dihantar pergi mengambil sesi latihan.

Katanya kena lebih lagi ilmu supaya mereka tahu tentang kerja.

Namun, saya fikir, kadang-kadang yang atas-atas ini juga perlu dihantar duduk dalam hutan. Kemudian dirotan, dibeduk, dilepuk oleh ibu ayah sendiri setiap hari, dimandikan serta dirodok dengan kata-kata pemulih supaya hati mereka kembali bersih untuk menjaga ramainya orang-orang bawahan.

Biar emak ayah mereka ajar anak mereka yang dah hebat berjawatan ini belajar semula bagaimana nak disayangi oleh semua orang di mana-mana.

Zaman hamba dah lama berlalu, namun disebalik majunya teknologi, kemasnya kilang dan pembangunan dibuat, kita semua sedang menggunakan sistem perhambaan yang teratur.

Ambil orang guna sistem, buat temuduga bagai, kita terima dia dengan terbuka, dia juga masuk lapur diri juga dengan senyum tawa. Namun selepas itu siaplah kau dikerjakan dengan suara-suara kejahatan, yang kononnya itulah yang akan beri semangat, naikkan jati diri dan berbuat kerja dengan hebat.

Padahal semua itu sedang mematikan. Menghembus nafas-nafas terakhir dan menamatkan rezeki yang rajinnya bertandang di situ.

Ya Rabb, dunia apa yang kami diami hari ini.

Yang murung dikeji-keji.
Yang hebat, berkerusi empuk, diangkat lagi dan lagi.

Khairul Hakimin Muhammad,
Takkan berdiam diri lagi.

(Visited 439 times, 1 visits today)