Waktu Zaman Baking Dulu

Waktu zaman-zaman belajar baking dulu, saya masuk kelas yang harga RM390 untuk 1 resipi. Cikgunya best, garang, dan modulnya memang menjadi.

Kemudian, masuk lagi kelas yang harga RM650 untuk 3 resipi. Seronok dapat jumpa kawan baru dalam dunia buat kek, biskut dan brownies.

Kemudian, saya pun cuba buat, iya menjadi. Apabila dah belajar, memang kena praktis supaya ianya dapat serasi dengan diri kita sendiri.

Saya ubah sikit begini, ubah sikit begitu. Jadilah resipi sendiri dan akhirnya jadi produk. Apabila produk pun menjadi, hanya tinggal pergi kelas marketing dan sales pula.

Pergi lagi. Keluar duit lagi. Orang rumah dah bising, duit gaji habis ke situ sahaja. Belajar belajar belajar. Kita tahan telinga sahajalah. Syukur waktu itu hanya pakai motor. Jadi duit minyak tak kisah sangat. Makan tak payah pun tak apa. Apa ada hal, nak dapat sesuatu mesti banyak kena berkorban.

Sampailah boleh jual sampai 200 box seminggu. Datang pula masalah lain. Pekerja tak tahan, nak dapat ganti pun susah. Pergi lagi jumpa orang nak belajar itu ini.

Hari ini, makin masuk ke sesi tenang-tenang. Iya, masalah tetap ada. Namun sudah banyak pergi kelas, jumpa orang dan buat networking, sudah boleh nampak pintu untuk selesaikan masalah.

Sungguhlah, zaman dulu mungkinlah belajar itu percuma, namun hari ini semua kena bayar dan laburkan. Dan tak boleh nak merungut. Seluk poket, kasi hulur. Telan sahaja air liur.

Yang kita bayar pada tahun 2012, hanya RM2,000. Namun jika difikirkan, ia boleh diguna hingga hari ini. Sudah masuk tahun ke 6.

6 tahun = 2,136 hari.
RM2,000 / 2,316 hari = 0.93 sen sehari sahaja ilmunya. Kahkah.

Itu entah-entah kita masih boleh guna lagi pada tahun-tahun mendatang.

Ingat kawan, matang dalam bisnes ini ialah apabila kita rajin belajar, rajin mendengar, rajin berbuat, rajin berbaik dan rajin berkawan. Walau ada harga yang perlu dibayar, ianya akan memberi pulangan yang sangat besar di kemudian hari.

Asal ada perasaan kedekut di bahagian pergi belajar, ketahuilah, Tuhan juga kedekut untuk beri kalian pengalaman best-best dalam dunia berniaga.

Itu sahaja kuncinya.

Khairul Hakimin Muhammad,
Pengasas Abuain Kitchen Studio.

(Visited 305 times, 1 visits today)