“Yang penting dalam hidup ini, kena teruskan hidup.”
Saya duk terngiang ayat tersebut. Balik sahaja ke rumah, solat asar dan duduk sekejap. Tadi, saya berjumpa seorang tua ini. Bersembang minum kopi dan beliau siap sediakan biskoti yang baru dibawa pulang dari Cologne, Jerman.
Seperti biasa, saya buka diari, tulis dan lukis menunjukkan bagaimana satu-satu penulisan itu terbina. Saya berharap benar beliau setuju saya tuliskan buku itu untuk beliau. Beliau tak banyak bercakap awalnya, mengikut sahaja rentak saya. Lalu saya bertanya,
“Ada tak sepanjang *** *** berbisnes, *** *** menyesal?”
Beliau terus jawab, “ada.” Lalu panjanglah ceritanya.
Kata beliau, beliau 5 beradik. Ibunya meninggal dunia ketika beliau berumur 11 tahun, dan beliau yang kena jaga semua adik-adik memandangkan ayah terpaksa berpagian menoreh getah. Lalu ayah juga pergi genap setahun tarikh ibunya pergi.
Katanya terlalu rapat, dan hampir setiap hari menangis.
Dan pada umur 12 tahun, beliau pergi menoreh. Lalu mula tak tahan kerana duit yang dapat terlalu sedikit. Beliau mula pergi kerja ke rumah-rumah pembesar, basuh pinggan, cuci baju, lap kasut, angkat bakul, sampai ke tahap membawa air ke rumah berkali-kali ketika ada masalah dan sebagainya. Hanya untuk dapat duit lebih demi adik-adik.
Pada sebelah petang, beliau akan uruskan tanah yang ada. Tanam itu tanam ini, buat sahaja. Pernahlah juga sangkut duit tak dapat buat itu ini kerana demam berpanjangan, lalu semua 5 beradik ambil segala daun ulam tepi rumah, lalu dimakan dengan air kosong. Kalau ada orang sedekah ubi, itu adalah syurga.
Antara benda yang beliau buat bertahun-tahun ialah belajar mendengar. Para pembesar sangat tak suka kita bersembang atau bertanya, lebih lagi jika diberi arahan, jangan persoal. Ikut sahaja.
Sampailah umur 22 tahun, beliau dapat bekerja sebagai pemandu kepada salah seorang pembesar tersebut dan sebelum orang itu meninggal dunia, beliau diminta menguruskan sebuah kedai runcit untuk pekan tersebut.
Dari situ bermulalah era belajar bisnes. Belajar kira duit, buat stok, buat itu ini. Akhirnya, beliau menjadi orang kepercayaan dan akhirnya beliau membeli bisnes itu dan menguruskannya sesama adik beradik. Hari ini beliau sendiri mempunyai beberapa gedung bisnes yang kita sendiri tak sangka yang itu adalah perniagaan orang kita.
Kata beliau, nak berjaya, bukan sehari. Prosesnya lama. Makan ubi perlu bertahun sampai perut kembung penuh angin. Terkentut-kentut sampai tidur pun masih lagi bloating.
Itu sahaja yang ada. Apabila bisnes berkembang, nak maintain staff, lain pula cabarannya. Namun, tetap kena belajar.
Yang beliau menyesal ialah beliau sering tak dapat beri adik-adik makan nasi, walau adik-adiknya tak pernah merungut, beliau dapat “dengar” semua itu melalui mata, serta perlakuan semua yang ada dalam rumah kecil tersebut.
Ya, Asasnya ialah mendengar. Saya tersentak dengan ayat ini,
“Khairul, semasa kita mula-mula keluar dari perut mak kita, yang pertama ialah bukan kita melihat. Sebenarnya ialah kita mendengar.
Allah beri kita pendengaran dari dalam rahim lagi. Jadi hal mendengar ini sangat-sangat penting.
Pergi mana-mana, dengar dulu. Baru tengok. Analisis kemudian barulah buat keputusan.
Dalam rumah, dengar dulu irama kasih sayang,
Dalam pejabat, dengar juga tentang taat, ikhlas dan berkat,
Dengan kawan, dengan saudara, dengar juga tentang pengalaman dan macam-macam lagi.
Dan paling penting ialah dengar serta patuh perintah Allah. Kan? Mula juga dengan dengar. Itulah peri pentingnya bab mendengar ini.”
Kawan-kawan,
Saya sering berjumpa orang yang hebat-hebat, dan apabila dah dengar kisah mereka, pastinya saya termenung.
Betapa usia 38 tahun ini dibazirkan dengan banyaknya cakap konon kita ini hebat, banyaknya bising konon kita paling berilmu dan banyaknya sembang konon kita ini lebih berpengalaman.
Jujurnya, kena belajar juga mendengar, kemudian cakaplah mana yang perlu sahaja.
Sungguhlah kawan-kawan,
Kita rasa kitalah paling susah dalam dunia ini, kemudian dapat buat sales sehari RM20,000 kita rasa kitalah paling kaya.
Namun hari ini, saya duk dengar yang seorang tua yang sudah bertongkat, suka sangat pergi ziarah hampir setiap hari ke 2-3 rumah anak yatim dan rumah orang tua yang dibinanya kemudian pada setiap waktu maghrib dan isyak, beliau akan duduk sahaja mendengar kuliah. Lebih beliau suka ialah kisah sirah.
Kata beliau,
“Duit dah tak beri makna hari ini. Apabila sampai satu usia, hutang dah selesai, adik-beradik pun semua dah ok, tinggallah kita ini sahaja dengan Tuhan. Dan berharap kali ini Allah dengar pula rintihan hati kita. Semoga Allah ampunkan dosa, matikan kita dengan baik dan dapat masuk syurga.”
Dan saya pula duk menangis. Entahlah jadi ke tidak buat buku kalau begini emosinya. Doakanlah kami ya.
Ya Rabb, kadang-kadang rasa mahu berhenti buat kerja ini, kadang-kadang juga ada terbit rindu. Namun menjadi pendengar kemudiannya menulis kepada orang lain untuk kalian baca, juga sebuah kebahagiaan dalam hal berkongsi. Sungguh. Semoga adalah manfaatnya.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Dengarkan kami Ya Rabb.